Simulasi rangkaian (Network Simulation) adalah satu teknik di mana satu program atau perisian memodelkan sesebuah senario rangkaian melalui kaedah matematik.  Ini termasuklah interaksi di antara pelbagai entiti di dalam sebuah rangkaian seperti Router, Switch, paket dan host.  Simulasi rangkaian dijalankan dengan menggunakan perisian yang dinamakan Simulator Rangkaian.  Walaupun ada sesetengah pendapat kurang bersetuju dengan kaedah simulasi komputer untuk mendapatkan hasil sesebuah eksperimen, simulasi rangkaian masih diterima secara umum atas pelbagai kelebihannya yang tersendiri.

Pertamanya adalah dari segi kos dan kewangan.  Dengan simulasi komputer, alatan rangkaian tidak perlu dibeli terlebih dahulu untuk menguji seseuatu senario rangkaian.  Ini menjimatkan banyak kos khususnya jika senario yang hendak diuji itu melibatkan pelbagai alatan rangkaian yang mahal seperti server, router dan switch boleh-urus (manageable switch) yang berkemungkinan menelan belanja beratus ribu ringgit.  Dengan simulasi rangkaian, tiada alatan yang perlu dibeli sebaliknya semua konfigurasi boleh di atur dan susun secara maya menerusi kaedah simulasi tersebut.

Keduanya, simulasi rangkaian memudahkan kita sebagai penyelidik untuk menyahpepijat sebarang aplikasi dan perubahan protokol.  Sebarang konfigurasi boleh diubah dan diselia hanya dengan menggunakan bahasa pengaturcaraan asas yang mudah seperti C++, Java dan TK/TCL.  Jika eksperimen dijalankan ke atas perkakasan fizikal itu sendiri, proses menyahpepijat sudah tentunya akan menjadi sukar dan memakan masa yang lama kerana ia melibatkan konfigurasi yang agak kompleks kerana melibatkan perisian tegar (firmware).

Mengubah/ modifikasi protokol bagi tujuan analisis dan penyelidikan dengan menggunakan simulasi rangkaian amat popular.  Pawlikowski [1] sebagai contoh, telah menjalankan satu survey tentang penggunaan simulasi rangkaian pada tahun 2002.  Melalui pemerhatian dan analisis kajiannya, didapati bahawa lebih daripada 50% hasil jurnal dan prosiding di dalam bidang rangkaian dan telekomunikasi adalah dengan menggunakan simulasi rangkaian.

Secara asasnya, semua perisian, termasuklah perisian simulasi rangkaian terbahagi kepada dua (2) kategori iaitu sumber tertutup dan sumberterbuka.  Perisian sumber tertutup kebiasaannya adalah perisian yang berbayar dan memerlukan lesen untuk digunakan.  Antara simulator rangkaian sumber tertutup yang popular adalah Opnet dan Matlab.

Perisian sumber terbuka adalah perisian yang tidak perlu dibayar, tiada lesen diperlukan dan boleh dimuat turun secara percuma sahaja melalui Internet.  Kod simulator tersebut juga boleh dimuat turun dan boleh dimodifikasi tanpa perlu keizinan daripada mana-mana pihak.  Antara simulator rangkaian sumber terbuka yang popular adalah NS-2 dan NS-3.

Pada posting yang akan datang, kita akan berbincang tentang simulator rangkaian sumber terbuka dengan lebih mendalam dan membuat asas-asas pemasangan (installation) perisian tersebut.

[1]  Pawlikowski, K., Jeong H. -D.J., Lee J.-S. R. (2002).  On Credibility of Simulation Studies of Telecommunication Networks.  IEEE Communications Magazine vol. 40, Issue 1, pp. 132-139.


Jika anda masih tidak memahami apa yang dibincangkan di atas, sila baca sekali lagi. Jika ada sebarang pertanyaan atau cadangan, boleh hubungi saya melalui Contact Form atau ruangan Comment di bawah.

Dapatkan maklumat mengenai Rangkaian, Sistem Komputer dan Sumber Terbuka di http://najwan.net

Share